26 November 2008

Usahawan Penternakan Cacing – Baja Vermikompos

Sebelum kita mengetahui tentang Baja Vermikompos, elok juga kita berkenalan dengan pengusahanya dan latar belakang beliau. Nama beliau ialah Encik Mohd. Husairi bin Abdul Rahman (seperti di dalam gambar sebelah). Beliau pernah berkhidmat di beberapa Bahagian dan Unit di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Bahagian Kewangan di Dawama Sdn. Bhd. Walaupun mengabdikan diri dalam dunia ‘makan gaji’ selama lebih 20 tahun di kedua-dua organisasi tersebut, itu bukanlah kepuasan baginya. Impiannya untuk menjadi usahawan tani telah lama terpendam selaras dengan seruan kerajaan yang mengkehendaki rakyatnya menjadikan “Pertanian Adalah Perniagaan”. Sebab itulah beliau melepaskan jawatan terakhir sebagai Pegawai Kewangan dan memilih bersara pilihan pada usia 40 tahun semata-mata merealisasikan minat beliau yang mendalam di dalam perniagaan dan keusahawanan. Kini beliau secara sepenuh masa mengusahakan pembuatan baja kompos (vermikompos) menerusi kaedah pencernaan cacing. Dengan tekad yang jitu beliau telah menubuhkan syarikat yang diberi nama FIRST AGROTECH, di alamat: lokasi

FIRST AGROTECH
No. 5, Jalan Cemperaisari 1D,
Bandar Sungai Buaya,
48010 Rawang,
Selangor Darul Ehsan.

H/P: 017-3196132
firstagrotech@yahoo.com

Sememangnya bidang perniagaan bukanlah asing bagi beliau, sejak kecil lagi beliau terdedah dalam bidang ini. Anak kepada seorang peniaga hasil pertanian seperti padi dan buah-buahan (mangga, cempedak, rambutan, nanas dan buah tempatan yang lain). Pengalaman yang diperoleh sebagai anak peniaga hasil pertanian dan juga pegawai di dalam urusan pentadbiran dan kewangan di sektor kerajaan dan swasta telah digabungkan dan diaplikasikan sepenuhnya dalam menguruskan perniagaannya.

Beliau memilih menceburi dalam bidang penghasilan baja menerusi kaedah pencernaan cacing kerana melihatkan potensinya yang besar bagi menggantikan baja kimia yang bakal dikurangkan penggunaannya menjelang tahun 2010.

Ditambah lagi dengan khasiat yang diperoleh daripada cacing iaitu berpotensi dalam penyuburan tanah, membaiki dan memelihara struktur tanah, pelupusan sampah organik, menjadi bahan buangan industri kepada baja organik, menjadi ramuan perubatan merawat penyakit seperti meredakan demam, tekanan darah tinggi, paru-paru serta menjadi bahan campuran dalam pembuatan kosmetik.

Selain itu, perniagaan ini membawa pulangan modal dalam tempoh yang singkat, mudah diternak dan risiko minimum, menghasilkan baja kompos (vermikompos) yang telah terbukti serta boleh mempelbagaikan produk akhiran yang berasaskan cacing seperti kosmetik, makanan tambahan dan kordial.

Sebagai usahawan sepenuh masa, beliau terlibat secara langsung di dalam urusan R&D dan proses penyediaan dari mula hinggalah ke pemasaran. Tugas-tugas tersebut ialah pembelian bahan organik dan jerami. Menyediakan campuran kedua-dua bahan tersebut sebelum memasukkan cacing untuk proses pencernaan. Membuat peti-peti kayu sebagai tempat proses pencernaan. Membiakkan cacing sehinggalah kepada peringkat pembungkusan dan pemasaran.

Beliau menggunakan teknologi pencernaan cacing daripada bahan organik asli najis lembu dan jerami menerusi proses vermikompos yang diakui sebagai medium yang terbaik bagi menghasilkan baja yang berkualiti.

Kebaikan dan kelebihan baja vermikompos:
  • Meningkatkan kelembapan dan memperbaiki pengudaraan serta pergerakan akar dalam tanah.
  • Mengurangkan permukaan tanah dari menjadi berkerak.
  • Penjimatan dari segi pengurangan penggunaan baja setelah musim ketiga apabila mutu tanah sudah dapat dipulihkan kerana vermikompos memulihkan tanah agar pokok dapat menyerap nutrien dengan lebih efisien.
  • Menambahkan bilangan organisma tanah yang berfaedah.
  • Meningkatkan daya ketahanan tanaman terhadap penyakit.
  • Tiada unsur bahan kimia.
Kini beliau tidak hanya menumpukan kepada pembuatan produk Baja Vermikompos sahaja. Melalui proses R&D yang telah dilakukan, satu produk baru iaitu “Booster” sebagai makanan tambahan untuk ternakan lintah telah diperkenalkan oleh First Agrotech. Ia telah terbukti boleh meningkatkan tumbesaran lintah sekali gus mencepatkan kadar tuaian haiwan tersebut.

Sebagai usahawan ternakan cacing yang menumpukan 100% dirinya dalam mengusahakan perniagaan ini, selok-belok kehidupan cacing, risiko, penjagaan dan cara penternakannya telah menjadi hanya di hujung jari bagi beliau. Justeru itu, bagi mereka yang ingin menceburi atau mendapatkan maklumat, bolehlah menghubungi beliau.

Beliau turut menjadi pakar runding kepada beberapa pengusaha ternakan cacing untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam menjayakan projek perniagaan mereka.

Di samping itu juga, beliau turut mengadakan Kursus Penternakan Cacing selama sehari dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang merangkumi teori dan praktikal di lokasi penternakan cacingnya dan dikenakan banyak sebanyak RM250.00. Bagi yang telah menghadiri kursus itu, masa untuk mendapatkan tunjuk ajar selepas kursus sehingga mahir dalam penternakan cacing ini tidak dihadkan dan diberi secara percuma. Ini kerana bagi beliau, ilmu tidak boleh kedekut, ia perlu dicurahkan kepada ramai orang kerana dari sinilah sektor penternakan cacing ini akan berkembang.

Kepada mereka yang ingin mula berjinak-jinak untuk menjadi pengusaha penterjenakan cacing, syarikat beliau juga ada menyediakan dan menjual kotak-kotak ternakan dengan harga terendah, alat penapisan baja dan makanan cacing yang telah diproses dengan harga berpatutan.

Akhir sekali nasihat beliau kepada para orang ramai yang belum mempunyai pekerjaan atau masih lagi menganggur, eloklah menceburi bidang ini dan janganlah memilih pekerjaan.



Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin