24 Januari 2009

Bil Indah Water Dibayar – Kemudahannya Tidak Dimanfaatkan

Apabila membaca tajuk di atas mungkin pelik bunyinya, tetapi itulah hakikat yang saya perhatikan di persekitaran tempat tinggal saya. Setiap enam bulan khidmat yang diberikan oleh IWK (Indah Water Konsortium), pelanggan domestik akan dihantar “Bil Perkhidmatan Pembetungan” dan ini bermakna pelanggan tersebut dikenakan bayaran di atas khidmat yang telah diberikan. (Menurut Kamus Dewan “pembetungan” bererti 1. kerja-kerja membetung; 2. sistem penyaliran najis, air kumbahan dsb ke loji pemprosesannya melalui rangkaian saluran bawah tanah. “kumbahan” bererti air yang telah digunakan utk membasuh). Sekiranya bil tersebut dibayar tetapi khidmat yang diberikan IWK tidak dimanfaatkan, apalah gunanya.

Apakah yang saya maksudkan “tidak dimanfaatkan”? Maksud saya ialah ada segelintir penduduk domestik (yang kurang kesedaran sivik dan masih berfikiran seperti penduduk kelas 3) masih lagi masih mengalirkan air sisa kumbahan seperti air daripada mesin basuh dan air dari singki di dapur (sisa kumbahan) ke longkang di belakang rumah. Mereka harus sedar bahawa air tersebut perlu dialirkan ke saluran pembetungan yang disediakan oleh pemaju perumahan. Apabila air sisa kumbahan dialirkan ke pembetungan ia akan disalurkan terus ke loji pengolahan sisa kumbahan. Tetapi jika air sisa kumbahan dialirkan ke longkang di belakang rumah ia akan mewujudkan pelbagai masalah seperti bau busuk yang meloyakan, berlumut, kelodak sisa yang mendap akan menyebabkan pengaliran air tersekat ini juga akan menyebabkan air bertakung di mana secara tidak langsung mewujudkan habitat nyamuk.

Kenapa mereka berbuat demikian? Apabila mereka mengubah suai rumah di bahagian dapur dan bilik air, langkah yang mudah dan mengurangkan kos pembinaan maka air sisa kumbahan terus dialirkan ke longkang. Apakah mereka tidak sedar implikasinya akibat sikap tidak sensitif mereka itu kepada persekitaran.

Pada masa ini penyakit seperti Denggi dan Chikungunya semakin meningkat di Selangor, apakah anda ingin menjadi penyebab penyakit tersebut kerana kealpaan dan bersikap mementingkan diri sendiri. Akhir kata lu pikirlah sendiri?

2 ulasan:

Unknown berkata...

Saya terbayang pula Karam Singh sedang berkata-kata. Cuma tiada pantun sahaja.

mie3425 berkata...

Anuar, itu cuma rintihan seorang jiran dan prihatin kepada alam sekitar.

Blog Widget by LinkWithin