07 Februari 2009

Ulang Tahun Perkahwinanku Ke-X

Hari bersilih ganti, dari hari berganti minggu, dari minggu berganti bulan dan dari bulan berganti tahun. Diam tak diam rupa-rupanya pada hari ini usia perkahwinanku telah genap sepuluh tahun. Walaupun usianya agak baru tetapi ia cukup bererti, mungkin kerana usiaku sudah bergelar orang lama. Hari ini umpama siaran “Hari ini dalam Sejarah” kepada keluarga kami.

Aku bersyukur kepada Allah kerana kami sekeluarga begitu bahagia, walaupun aku agak lewat untuk mendirikan rumah tangga. Kami dikurniakan tiga orang cahaya mata, lelaki semuanya, mungkin belum ada rezeki untuk kami mendapat cahaya mata perempuan. Kesyukuran ini kupanjatkan kepada Allah dan terima kasihku kepada isteri yang dicintai di atas pengorbanan, kesetiaan dan kebahagian di dalam rumah tangga kami. Doaku semoga ianya akan berkekalan selagi hayat dikandung badan.

Kejayaan anak-anak bergantung sepenuhnya dan berkait rapat dengan kebahagian dan kesejahteraan sebuah institusi keluarga. Untuk menjadikan “Rumahku Syurgaku” bergantung kepada prinsip tersebut. Walaupun sebuah keluarga itu kaya raya tetapi keluarganya pincang, itu adalah kegagalan sebenarnya; tetapi walaupun sebuah keluarga nampak miskin atau sederhana pada pandangan kita dan rumah tangganya aman damai serta bahagia, insya-Allah keluarga tersebut adalah sebuah keluarga yang berjaya. Ukuran kebahagian bukanlah terletak kepada kemewahan, tetapi bergantung kepada faktor kebahagian dan kesejahteraan. Keluarga yang bahagia dan dilimpahi kesenangan itu adalah bonus dari Allah.

Alhamdulillah itulah ucapan yang dapat diungkapkan oleh kami berdua kerana rezeki yang dilimpahi Allah kepada keluarga kami cukup banyak sama seperti keluarga lain juga iaitu nikmat berkeluarga, memiliki anak, tempat tinggal yang agak selesa, kenderaan yang sesuai dan jiran/masyarakat di sekeliling yang baik hati. Sekali lagi aku memohon kehadrat Allah supaya dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini.

Mengenang kembali peristiwa yang paling tidak dapat kulupakan ialah soalan cepumas daripada Tuan Imam kepadaku sebelum khutbah nikah dibaca. Pertanyaan berbunyi begini, “Kenapa lewat mendirikan rumah tangga,” tanyanya kepadaku. Lantas kujawab spontan ialah belum sampai jodoh!

3 ulasan:

ZulDeanz berkata...

Taniah.... Suhaimi

mie3425 berkata...

Terima kasih, Zul. Apa cerita blog tuan terkini tentang politik.

Unknown berkata...

Alhamdulillah semoga kekal abadi.

Blog Widget by LinkWithin