08 Januari 2010

Selamat Bersekolah Anak-anakku

Laman blog ayah sudah lama tidak dikemas kini kerana kesibukan atau pun entah kenapa keghairahan untuk mengemas kini dan menulis agak menurun sepanjang hujung tahun 2009. Sebenarnya banyak tajuk-tajuk yang ingin dimuatkan berada di dalam kotak pemikiran ayah, tetapi agak sukar untuk dinukilkan di ruangan ini.

Minggu persekolahan sudah berjalan selama satu minggu pada tahun 2010 dan banyak pengalaman dan pengajaran yang diperoleh di dalam tempoh tersebut walaupun pada masa yang singkat. Mengenal erti tentang kemanusiaan, kewangan dan kegigihan.

Alhamdulillah, semua anakku telah berjaya untuk menempatkan diri mereka pada tahap yang membanggakan untuk mengharungi sesi tahun 2010. Tahniah kepada Muhammad Luqman Hakim kerana telah menunaikan impian ayah pada tahun ini. Begitu juga tahniah kepada Muhammad Afiq Hilmi kerana berjaya mengekalkan prestasi dan meningkatkan pencapaian pada hujung tahun. Tidak dinafikan ukuran pencapaian prestasi pelajaran diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi itulah satu-satunya ukuran yang boleh kita guna pakai untuk menentukan keupayaan seseorang di dalam pelajaran.

Pada tahun 2009, apabila saya mendapat tahu bahawa Hakim telah turun kelas kepada kelas yang keempat mengikut ranking Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra (SKBRP) iaitu 4 Inovasi, saya merasa agak kecewa, tetapi itu mungkin ada hikmahnya. Saya telah membuat keputusan supaya mereka kurang atau hanya pada masa tertentu sahaja dapat menonton televisyen, termasuk saya juga untuk keadilan. Akhirnya Hakim telah berjaya menempatkan dirinya di dalam kelas yang pertama 5 Budiman. Pesan ayah kepada Hakim: Untuk menempa kejayaan perlukan usaha, tetapi untuk mengekalkan kejayaan (ada kesukarannya) dan memerlukan kegigihan.

Untuk memberi peluang kepada Hakim supaya dapat meningkatkan prestasinya, maka isteri saya telah mengenal pasti pusat tuisyen yang boleh memberikan pembelajaran yang terbaik, dengan cara melalui bertanya kepada rakan dan melayari laman web yang berkaitan. Akhirnya kami memilih pusat tuisyen Kumon untuk membantu Hakim dalam meningkatkan kemahirannya dengan mengambil mata pelajaran Matematik dan bahasa Inggeris. Walaupun begitu Hakim juga mengambil tuisyen bahasa Inggeris dengan jiran kami untuk menyesuaikan dengan sukatan pelajaran di sekolah.

Saya memohon maaf kepada Afiq pada tahun ini kerana pergi ke Sekolah Agama dengan menaiki basikal dan tidak lagi menggunakan perkhidmatan van untuk pergi dan balik. Walaupun keputusan ini agak berat untuk ayah ambil dan risikonya. Saya berpesan kepada Afiq agar menjaga keselamatan dan bairlah kita bersusah sedikit tetapi kita tidak menyusahkan orang lain. Wahai anakku ingatlah pesan ayah ini: Sekiranya kita tidak dapat membantu atau menolong orang lain kerana di luar kemampuan kita, itu tidak mengapa, TETAPI JANGANLAH pula kita menyusahkan orang lain.

Akhir sekali saya meminjam satu ungkapan yang diberikan oleh Yang Dipertua PIBG SKBRP pada Mesyuarat Agung PIBG 2009, lebih kurang begini iaitu: Usaha yang luar biasa, akan menghasilkan keputusan yang biasa, itu memang biasa. Tetapi usaha yang biasa, tidak akan menghasilkan keputusan yang luar biasa.

Untuk Hakim dan Afiq, ayah dan mama hanya dapat berusaha dan mengeluarkan belanja dengan apa yang termampu untuk memberikan ilmu dan pengetahuan sebagai bekalan untuk menempuh hari mendatang. Ingatlah bahawa ayah dan mama tidak mempunyai harta untuk diwariskan, jadi timbalah ilmu dan pengetahuan untuk dijadikan harta.
Blog Widget by LinkWithin