08 April 2010

Kenapa “Dia orang, Kita orang” – ke mana perginya “Mereka, Kami”


Kita sering mendengar ungkapan “dia orang”, “kita orang” apabila merujuk seseorang dalam sesi wawancara sama ada di radio ataupun di televisyen. Malah kita juga mendengar para juruhebah (DJ) di radio mengungkapkan perkataan berikut dan mungkin berasa yang kononnya lebih mesra dengan pendengar. Dalam suasana rasmi mengapa pula ramai orang Melayu bercakap sedemikian. Mengapakah apabila menggunakan ungkapan mereka, kami ungkapan ini menjadi terlalu baku untuk dituturkan? Agaknya mereka kekok untuk menggunakannya dan seolah-olah tidak bersahaja ketika menuturkan perkataan tersebut. Sekiranya orang Melayu tidak menjadi teladan kepada orang bukan Melayu untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dan penggunaannya, siapakah lagi yang harus kita letakkan tanggungjawab tersebut?

Saya merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga bagi perkara di atas. Pada halaman 101 buku tersebut di bawah tajuk (6.2.3 Kata Ganti Nama). Saya hanya memetik Kata ganti nama diri orang. Menurut buku tersebut, kata nama jenis ini mengandungi perkataan yang merujuk diri orang tertentu, iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga. Di bawah ini diberikan butiran tentang ketiga-tiga jenis kata ganti nama:

(a) kata ganti nama diri yang pertama: saya, aku, beta, patik, kami, kita
(b) kata ganti nama diri orang kedua: anda, saudara, engkau, awak, kamu
(c) kata ganti nama diri orang ketiga: ia, dia, beliau, mereka, -nya.

Kalau kita merujuk ketiga-tiga jenis kata ganti nama di atas, rasanya kita tidak kurang perkataan untuk mengungkapkan kata ganti nama sehingga kita terpaksa meminjam perkataan/ungkapan “kita orang”, “dia orang”, bukankah lebih mudah sekiranya kita menggunakan kami atau mereka untuk menggantikannya?

Mungkin juga “kita orang”, “dia orang” merupakan jargon bagi sesetengah golongan, kerana apabila tidak menggunakan ungkapan sebegitu, maka kita dilihat sebagai asing dalam golongan tersebut.

Dalam penggunaan ungkapan mereka dan kami, sewaktu sesi wawancara sama ada di televisyen ataupun radio, mereka daripada keturunan India lebih menonjol dalam penggunaan bahasa Melayu (pandangan peribadi saya). Saya melihat orang Melayu sendiri sering bertutur menggunakan bahasa “rojak” yang bercampur bahasa Inggeris, mungkin untuk menonjolkan diri daripada kalangan orang terpelajar, kononnya. Apa yang jelas pertuturan mereka tentang penggunaan kata ganti nama seperti yang disebutkan di atas amat ketara digunakan.

Sama ada anda salah seorang daripada mereka, jawapannya ada di dalam diri anda sendiri!

Blog Widget by LinkWithin