08 Ogos 2009

Hari Ini – Blog Ini Genap Setahun

Walaupun umurnya baru mencecah setahun jagung (kata pepatah Melayu) namun aku tetap bersyukur di atas kelahirannya. Setiap hari hari ada pengunjung baru yang memang tidak aku sangkakan ianya jadi begitu, walaupun tiada angka yang tepat dapat diberitahu. Kepada pengunjung diucapkan ribuan terima kasih atas kesudian anda.

Di dalam Blog ini hanyalah nukilan perasaan yang terbuku di hati untuk diluahkan dengan hati yang tulus ikhlas, mungkin ada sindiran atau teguran tetapi ianya ikhlas untuk sama-sama merubah agar kita menjadi insan yang lebih baik dan berpengetahuan. Setelah wujud Blog ini barulah aku menyedari bahawa komuniti maya melalui Blog benar-benar ikhlas menyampaikan ilmu dan maklumat mereka untuk titipan dan tatapan.

Saya berdoa kepada Allah S.W.T semoga diberikan kekuatan untuk meneruskan kebolehan yang sedikit ini supaya dapat berkarya lewat Blog. Kepada rakan dan teman baru di dalam arena Pemblogan ini terima kasih atas sokongan anda semua.

26 Julai 2009

Bahasa Jiwa Bangsa


Kita sering mendengar slogan dan ungkapan tersebut. Tapi apakah kita faham tentang makna slogan tersebut. Menurut Kamus Dewan (edisi keempat): bahasa sistem lambang bunyi suara yg dipakai sbg alat perhubungan dlm lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dgn individu yg lain dsb); jiwa nyawa, roh (yg ada dlm tubuh menusia); bangsa jenis manusia drpd satu asal keturunan. Ini bermakna bahawa bahasa adalah roh kepada sesuatu bangsa dan jika bahasa tidak wujud kepada bangsa tersebut maka hilanglah jati diri bangsa tersebut. Ungkapan ini juga sama ertinya dengan Bahasa Melambangkan Bangsa. Ingin saya tegaskan di sini tentang bahasa, iaitu apabila bahasa tersebut digunakan dan berkembang dengan pesat maka melambangkan ketamadunan sesuatu bangsa.

Kita sering berjumpa dengan manusia dari pelbagai keturunan. Pertama kita melihat melalui paras rupa mereka, tetapi kita tidak tahu bangsa mereka. Sebagai contoh orang Jepun dengan Korea, apabila mereka berbual (berbahasa) baru kita dapat mengenal pasti keturunan mereka. Maka dengan bahasa baru kita dapat mengenal bangsa mereka.

Sebagai contoh lain pula, seorang yang bernama Suhaimi bin Sudarji bin Marto Pawiro. Melalui nasab nama tersebut beliau merupakan keturunan Jawa. Kerana nama juga melambangkan keturunan seseorang. Tetapi sekiranya beliau tidak boleh berbahasa Jawa (orak iso ngomong Jowo atau enggak bisa ngomong Jowo), apakah beliau boleh dikatakan berbangsa Jawa atau bolehkah beliau mengaku bahawa dia berbangsa Jawa. Pendapat saya malu rasanya untuk mengaku sebagai berbangsa Jawa kerana tidak dapat dibukti melalui penguasaan bahasa bangsa tersebut, maka Bahasa Jiwa Bangsa amat sinonim dengan cerita ini. Saya sering melayari blog en_me untuk mengembalikan nostalgia bahasa Jawa.

Begitu juga nasib orang Melayu sekiranya bahasanya tidak digunakan? Apakah ada keturunan Melayu lagi? Mungkin keturunannya ada tetapi sudah hilang jati diri. Atau seperti apa yang dikatakan oleh Hang Tuah “takkan Melayu hilang di dunia” tetapi bagi saya Melayu akan hilang di dunia sekiranya bahasanya tidak digunakan lagi, dan bahasa merupakan ketamadunan sesuatu bangsa. Bahasa yang bertamadun apabila ianya digunakan untuk mengungkapkan sesuatu ilmu itu melalui bahasa tersebut. Wahai orang Melayu berusahalah untuk memartabatkan bahasa Melayu untuk diletakkan pada tahap yang tinggi supaya menjadi bahasa ilmu.

04 Julai 2009

Pelajar IPT Membuat Latihan Amali di ITNM Sesi 2009

Selama hampir tiga bulan mereka telah membuat Latihan Amali di ITNM. Mereka merupakan pelajar daripada beberapa IPT di dalam Malaysia, iaitu: UIAM, USM, UKM dan UM. Semasa membuat latihan amali mereka didedahkan dengan proses terjemahan sijil dan dokumen bahasa Arab kepada pelajar UIA, penterjemahan buku kepada BATI, USM, penyuntingan buku kepada pelajar UKM dan UM.

Walaupun agak sedikit ilmu yang diperolehi, namun mereka telah dapat menimba ilmu yang sangat berharga. Latihan amali yang mereka lakukan sama seperti apa yang dilakukan oleh pekerja ITNM yang lain.

Mulai 6 Julai 2009 mereka akan meneruskan pengajian di IPT masing-masing pada tahun akhir. Saya mengucapkan terima kasih daun keladi dan selamat meneruskan pengajian sehingga mendapat Ijazah dengan keputusan yang cemerlang.

Berikut di bawah ini dipaparkan beberapa gambar kenangan ihsan daripada mereka.


Masing-masing sedang memberikan gaya yang tersendiri.




Berkumpul sebelum mereka pergi ke jamun perpisahan dan selepas jamuan.


Oleh kerana musim durian telah bermula, masing-masing tidak melepaskan peluang untuk makan bersama. Kepada pelajar USM mohon maaf kerana tidak dapat bersama di dalam majlis ini disebabkan anda sudah tiada di KL.




Gambar yang memaparkan kreativiti kumpulan mereka.

22 Jun 2009

Selamat Hari Lahir Afiq Hilmi yang Ke-7

Tarikh lahir Muhammad Afiq Hilmi (panggilan mesranya Afiq) ialah 22 Jun, tetapi memandangkan tarikh tersebut bersamaan hari Isnin maka majlis tersebut diadakan awal sehari iaitu pada 21 Jun 2009 bersamaan hari Ahad. Hari ini Afiq sudah berusia 7 tahun bermakna kami sekeluarga juga sudah tinggal di Taman Impian Indah, Sungai Buloh juga selama 7 tahun kerana setelah seminggu kami berpindah Afiq pun lahir.

Pada mulanya kami bercadang untuk menyambutnya sekeluarga sahaja, tetapi sebelum tarikh tersebut saya dan isteri sudah berjanji bahawa jika keputusan peperiksaan pertengahan tahun mendapat keputusan yang baik, maka satu majlis akan diadakan dan hadiah yang agak lumayan. Hadiah yang diinginkan ialah Transformers. Penanda aras keputusan tersebut ialah sekurang-kurangnya mendapat 5A.

Kami hanya menjemput jiran tetangga yang terdekat sahaja dan rakan tuisyen Afiq memandangkan kesuntukan masa untuk membuat persediaan. Kesemua makanan tersebut kami masak sendiri dan dibantu oleh Wan (Nenda dalam bahasa Negeri Sembilan) Afiq. Menu utama ialah: Mi Rebus (ala-ala kegemaran keluarga kami) dan Roti Jala cecah serawa durian, sandwic, karipap, nugget, bebola ayam dan buah.

Manakala kek untuk majlis tersebut saya tempah daripada Kek De’Hanz (sila klik) pengusaha kek yang agak terkenal di DBP. Mereka berdua suami isteri yang merupakan rakan kerja saya semasa bertugas di DBP. Kepada Adnan dan Norzaitul Hanim saya ucapkan terima kasih di atas mereka bentuk kek yang cantik.


Di antara tetamu yang terawal hadir dan di sebelah ialah sewaktu acara meniup lilin.


Di antara menu yang dapat dihidangkan maklum sahaja tiga orang yang menyediakannya.

11 Jun 2009

Senarai Pemenang Peraduan Beli Buku ITNM

Semalam telah disiarkan di dalam Berita TV3 dan Bernama tentang keputusan tersebut, malangnya pada waktu tersebut saya tiada di rumah kerana menemankan anak untuk ke kelas tuisyen. Jadi terlepas peluang untuk mengikuti berita tersebut. Tapi tidak mengapa kerana di dalam zaman yang serba canggih ini kita masih lagi dapat peluang untuk melihat semula siaran berita tersebut. Kepada anda yang ingin melihat ulangan berita tersebut sila klik Anuar Manshor. Petang tadi pada waktu yang agak senggang saya melayari blog Azli Shukri untuk melihat perkembangan terkini atau tentang isu semasa yang dipaparkan oleh beliau, kerana saya sering mengikuti perkembangan blog beliau maklum saja saya ni orang Perak. Agak terperanjat juga kerana tiba-tiba iklan Peraduan ITNM telah terpapar dan apakah gerangannya yang tidak kena, tapi setelah membaca sehingga habis, rasa gembira juga menjadi Warga ITNM dan Tahniah kepada mereka yang telah berjaya.

Berikut diberikan senarai Pemenang Hadiah Utama dan Pemenang Tempat Pertama hingga Tempat Ketiga. Kepada pemenang yang lain jangan risau, kerana cek akan dikirimkan berdasarkan alamat yang terdapat pada borang.

Hadiah Utama (Perodua Myvi)

JAMALUDIN BIN ALOI
Seorang Guru dari Tanjung Karang

Hadiah Pertama RM10,000

AMIRUDDIN BIN MD ALI HANAFIAH
Seorang Guru dari Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam

Hadiah Kedua RM5,000

CHONG KWONG LEONG
Seorang Jurutera dari Subang Jaya

AHMAD NAJIB BIN MOHAMAD
Pegawai Bank dari Bandar Baru Sentul

Hadiah Ketiga RM1,000

  1. NUR’AISHAH BT AHMAD SHARIM
    Pelajar dari Kajang
  2. ASPALILA BT ABD MAJID
    Suri Rumah dari Felda Keratong 2
  3. SITI NURUL AIN BT ABD HAMID
    Pelajar dari Bandar Baru Bangi
  4. BAKRI BIN EJANG
    Pesara dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru
  5. JAMAYAH BT ZAKARIA
    Pensyarah dari Universiti Putra Malaysia
  6. BASRI SHAFF B JAMALUDDIN
    Guru dari Kuantan, Pahang
  7. SITI HAIROLMIZA BT ZAINAL
    Penolong Pengurus dari Hulu Langat
  8. MUHAMMAD AZLI SHUKRI
    Pegawai Penerbit dari Kuala Kangsar
  9. MUHAMMAD SALLEH RAHAMAD
    Pensyarah dari Universiti Malaya
  10. AINUL MARDZIAH SHAHIDAN
    Eksekutif Muda dari Kajang
  11. YUSDI B ISMAIL
    Pensyarah dari Pasir Gudang
  12. MOHD ZULLGHAFARI B SAPARMIN
    Pembantu Tadbir dari Muar, Johor
  13. MOHD FADLI B HASSAN
    Guru dari Sentul, Kuala Lumpur
  14. ZULKARFLI B MOHAMAD
    Kerani dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur
  15. SAIFUL BAZLI B ABDUL GHANI
    Pembantu Tadbir dari Pasir Puteh, Kelantan

05 April 2009

Beli Buku ITNM – Dapat Hadiah Kereta atau Hadiah Bernilai RM100,000


Klik poster di atas untuk paparan yang lebih jelas.

Jika kita merujuk tajuk di atas jelas begitu mudah untuk mendapat hadiah lumayan dengan hanya membeli buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL) yang akan diadakan pada 17–26 April 2009, ITNM sekali lagi mengorak langkah untuk memberi imbuhan yang lumayan kepada pengunjung yang membeli bukunya di PBAKL. Majlis pelancaran peraduan ini telah dilancarkan oleh Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah pada 22 Mac 2009.

Walau bagaimanapun, kepada sesiapa yang tidak dapat hadir semasa PBAKL, masih berpeluang untuk menyetai peraduan tersebut, kerana ITNM telah melantik kedai-kedai buku di seluruh Malaysia untuk menyertai program ini. Apa yang penting ialah setiap penyertaan perlu disertakan dengan resit belian. Untuk mengetahui bahawa kedai tersebut menyertai kempen ini dengan melihat poster dan banting yang dipamerkan di kaunter.

PBAKL 2009 dengan tema Buku: Lakaran Masa Depan. Tema ini menggambarkan bahawa dengan membaca pada peringkat sekarang (awal) akan memberi manfaat kepada kehidupan masa depan (untuk melakar corak kehidupan yang lebih bermakna). Lakaran masa depan yang boleh diperoleh melalui ilmu dengan membaca. Kerana orang yang banyak membaca adalah orang yang berilmu.

Melalui ruangan ini saya ingin berpesan kepada diri saya dan juga keluarga serta kepada sesiapa sahaja yang melayari blog saya ini tentang ayat yang pertama (wahyu) yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah IQRA, tetapi apabila saya melihat kurangnya orang berketurunan Melayu beragama Islam mengambil contoh yang disarankan oleh konsep IQRA. Memang kita boleh lihat ramai orang Melayu yang rajin membaca, tetapi mereka kebanyakannya orang yang berjaya atau golongan menengah.

Penaja utama kempen kali ini ialah Perodua Sdn. Bhd. (Myvi), AmBank Group.

Peraduan berakhir pada 26 APRIL 2009.

03 April 2009

Inikah Bentuk Bahasa Melayu Mutakhir?


BUKIT RAHMAN PUTRA
BELAKANG MINYAK PUM ESSO

Siapakah yang membuat iklan ini, adakah mereka orang Malaysia "rakyat Malaysia" atau orang asing seperti Bangladesh? Kalau orang Malaysia kenapa jadi begini? Apakah orang Malaysia sudah tidak pandai berbahasa Melayu dengan betul atau tidak peduli tentang perlu berbahasa (menggunakan bahasa Melayu) dengan betul.

Fikir-fikirlah sejenak, apakah yang akan terjadi kepada bahasa Melayu pada 50 tahun mendatang, atau ia akan disimpan di dalam muzium sebagai kenangan kerana sudah pupus.

07 Februari 2009

Ulang Tahun Perkahwinanku Ke-X

Hari bersilih ganti, dari hari berganti minggu, dari minggu berganti bulan dan dari bulan berganti tahun. Diam tak diam rupa-rupanya pada hari ini usia perkahwinanku telah genap sepuluh tahun. Walaupun usianya agak baru tetapi ia cukup bererti, mungkin kerana usiaku sudah bergelar orang lama. Hari ini umpama siaran “Hari ini dalam Sejarah” kepada keluarga kami.

Aku bersyukur kepada Allah kerana kami sekeluarga begitu bahagia, walaupun aku agak lewat untuk mendirikan rumah tangga. Kami dikurniakan tiga orang cahaya mata, lelaki semuanya, mungkin belum ada rezeki untuk kami mendapat cahaya mata perempuan. Kesyukuran ini kupanjatkan kepada Allah dan terima kasihku kepada isteri yang dicintai di atas pengorbanan, kesetiaan dan kebahagian di dalam rumah tangga kami. Doaku semoga ianya akan berkekalan selagi hayat dikandung badan.

Kejayaan anak-anak bergantung sepenuhnya dan berkait rapat dengan kebahagian dan kesejahteraan sebuah institusi keluarga. Untuk menjadikan “Rumahku Syurgaku” bergantung kepada prinsip tersebut. Walaupun sebuah keluarga itu kaya raya tetapi keluarganya pincang, itu adalah kegagalan sebenarnya; tetapi walaupun sebuah keluarga nampak miskin atau sederhana pada pandangan kita dan rumah tangganya aman damai serta bahagia, insya-Allah keluarga tersebut adalah sebuah keluarga yang berjaya. Ukuran kebahagian bukanlah terletak kepada kemewahan, tetapi bergantung kepada faktor kebahagian dan kesejahteraan. Keluarga yang bahagia dan dilimpahi kesenangan itu adalah bonus dari Allah.

Alhamdulillah itulah ucapan yang dapat diungkapkan oleh kami berdua kerana rezeki yang dilimpahi Allah kepada keluarga kami cukup banyak sama seperti keluarga lain juga iaitu nikmat berkeluarga, memiliki anak, tempat tinggal yang agak selesa, kenderaan yang sesuai dan jiran/masyarakat di sekeliling yang baik hati. Sekali lagi aku memohon kehadrat Allah supaya dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini.

Mengenang kembali peristiwa yang paling tidak dapat kulupakan ialah soalan cepumas daripada Tuan Imam kepadaku sebelum khutbah nikah dibaca. Pertanyaan berbunyi begini, “Kenapa lewat mendirikan rumah tangga,” tanyanya kepadaku. Lantas kujawab spontan ialah belum sampai jodoh!

01 Februari 2009

Kenapa Aku Membina Blog

Kenapa aku membina blog, kenapa aku harus ada blog, kenapa aku suka blog. Sebabbbbb ada blog bestttttttttt. Setelah lama angan-agan itu berlalu maka untuk kali pertama telah muncul karyaku di dalam blog yang aku bina pada 8 Ogos 2008, seperti tarikh keramat sahaja. Kerana pada tarikh tersebut senang untuk diingati. Orang yang banyak mendorong untuk membina blog ialah Enche dan diikuti oleh noin anak jamil (pelajar praktikal dari USM) yang banyak memberi tunjuk ajar. Saya mengenali noin sewaktu beliau membuat latihan praktikal di ITNM dan saya memberi tunjuk ajar cara menggunakan perisian terjemahan Trados.

Untuk membuat blog seseorang itu tidak perlu ada segulung ijazah, tidak perlu ada sekeping diploma, memadai hanya ada ilmu tentang IT dan boleh mengarang. Seseorang perlu ada otak kreatif dan kritis untuk berkarya. Untuk menulis atau mempunyai ruangan/kolum di dada akhbar dan majalah, aku bukanlah seorang penulis terkenal dan mungkin pepatah yang sesuai ialah jauh panggang dari api. Setelah memikirkan bahawa aku manusia yang ada perasaan, ada hati dan ada pengalaman. Maka aku gagahi diri ini untuk membina blog supaya luahan hati dan perasaan dapat aku paparkan (daripada aku meluahkannya dengan menconteng di tandas dan di tempat awam, itu vandalisme namanya.) Perkongsian minda dan pengalaman dapat aku catatkan supaya boleh dimanfaatkan bersama.

Ingin aku memetik kata-kata yang ditulis oleh Zuldean, petikan berbunyi begini “Aku bukanlah penulis yang baik. Segala kesalahan ejaan dan bahasa haraplah dimaafkan”.

Aku akan terus berkarya melalui blog dalam bahasa Melayu supaya dunia tahu bahawa Malaysia ada bahasanya sendiri walaupun tulisannya rumi. Tetapi dunia harus sedar bahawa bahasa Melayu boleh ditulis dengan dua bentuk tulisan iaitu Jawi (جاوي) dan Rumi (رومي) dan sebutannya tetap sama. Maka sebagai orang Melayu dan bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Melayu, aku akan terus mendaulatkannya dan tidak akan sesekali menjadikannya rojak semasa penggunaannya.

Kenapa aku mesti berbangga menggunakan bahasa Melayu di dalam blog?
Pertama sewaktu aku berjumpa dengan Pak Asraf (Asraf Haji Wahab yang kukenali sejak tahun 1984) seorang ahli linguistik yang terkenal dan orang ASAS 50. Kali terakhir aku berjumpa pada penghujung tahun 1993 sewaktu hari Jumaat di Surau Istana Negara sedang makan ikan bakar. Beliau bertanya kepadaku, “Sekarang bertugas di mana?” Jawabku pendak, “Di ITNM,” dan beliau membalas, “Baguslah, teruskan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu,” kata beliau. Kenapa beliau berkata begitu? Jawapannya ialah kami pernah sama-sama berkhidmat di DBP, jika selama ini tugas yang kami laksanakan tidak dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia, maka sia-sia sahaja kerja tersebut.

Kedua sewaktu kerjasama ITNM dengan pihak Beyondsoft untuk projek “Localization”. Pihak Beyondsoft menyangkakan bahawa bahasa Melayu ada tulisannya sendiri seperti bahasa Jepun, Korea atau Thailand. Kenapa di Malaysia menggunakan OS Windows XP bahasa Inggeris untuk bahasa Melayu, mereka berasa pelik. Melalui projek ini saya mempelajari perisian Trados, dan terima kasih kepada Mr. Vijay.

Sekian sahaja untuk catatan kali ini semoga dapat berjumpa lagi.

24 Januari 2009

Bil Indah Water Dibayar – Kemudahannya Tidak Dimanfaatkan

Apabila membaca tajuk di atas mungkin pelik bunyinya, tetapi itulah hakikat yang saya perhatikan di persekitaran tempat tinggal saya. Setiap enam bulan khidmat yang diberikan oleh IWK (Indah Water Konsortium), pelanggan domestik akan dihantar “Bil Perkhidmatan Pembetungan” dan ini bermakna pelanggan tersebut dikenakan bayaran di atas khidmat yang telah diberikan. (Menurut Kamus Dewan “pembetungan” bererti 1. kerja-kerja membetung; 2. sistem penyaliran najis, air kumbahan dsb ke loji pemprosesannya melalui rangkaian saluran bawah tanah. “kumbahan” bererti air yang telah digunakan utk membasuh). Sekiranya bil tersebut dibayar tetapi khidmat yang diberikan IWK tidak dimanfaatkan, apalah gunanya.

Apakah yang saya maksudkan “tidak dimanfaatkan”? Maksud saya ialah ada segelintir penduduk domestik (yang kurang kesedaran sivik dan masih berfikiran seperti penduduk kelas 3) masih lagi masih mengalirkan air sisa kumbahan seperti air daripada mesin basuh dan air dari singki di dapur (sisa kumbahan) ke longkang di belakang rumah. Mereka harus sedar bahawa air tersebut perlu dialirkan ke saluran pembetungan yang disediakan oleh pemaju perumahan. Apabila air sisa kumbahan dialirkan ke pembetungan ia akan disalurkan terus ke loji pengolahan sisa kumbahan. Tetapi jika air sisa kumbahan dialirkan ke longkang di belakang rumah ia akan mewujudkan pelbagai masalah seperti bau busuk yang meloyakan, berlumut, kelodak sisa yang mendap akan menyebabkan pengaliran air tersekat ini juga akan menyebabkan air bertakung di mana secara tidak langsung mewujudkan habitat nyamuk.

Kenapa mereka berbuat demikian? Apabila mereka mengubah suai rumah di bahagian dapur dan bilik air, langkah yang mudah dan mengurangkan kos pembinaan maka air sisa kumbahan terus dialirkan ke longkang. Apakah mereka tidak sedar implikasinya akibat sikap tidak sensitif mereka itu kepada persekitaran.

Pada masa ini penyakit seperti Denggi dan Chikungunya semakin meningkat di Selangor, apakah anda ingin menjadi penyebab penyakit tersebut kerana kealpaan dan bersikap mementingkan diri sendiri. Akhir kata lu pikirlah sendiri?

10 Januari 2009

Grand Livina IMPUL (Edisi Terhad) – Kini Muncul

Pada 5 Januari 2009 yang lalu, saya dikejutkan dengan penerimaan SMS daripada Sdr. Qalif (SA) ETCM Cawangan Taman Melati. Di dalam pesanan ringkas tersebut menyatakan GRAND LIVINA VERSI IMPUL akan muncul dan pelancarannya akan diadakan pada hari tersebut.

Kalau sebelum ini versi IMPUL telah muncul untuk model LATIO maka kini tiba pula giliran Grand Livina menerima sentuhan IMPUL. Ciri-ciri yang ditampilkan oleh IMPUL seperti biasanya ialah Gril Depan, Aerokit, Sistem Ekzos (Muffler), Rim (17”) dan Tayar (Dunlop Formula D 01 205/45 R17), Sistem Penyerap Hentakan dan Spring (Sport). Manakala warna untuk versi IMPUL ialah Tungsten Silver, Sapphire Black, Brilliant White dan Twillight Grey.

Harga yang ditawarkan untuk model-model seperti di bawah:

  • Grand Livina IMPUL 1.6 (Manual) RM94,896.30 (OTR)
  • Grand Livina IMPUL 1.6 (Automatik) RM95,586.00 (OTR)
  • Grand Livina IMPUL 1.8 (Automatik) RM107,396.30 (OTR)

OTR = Harga di atas jalan (Harga di atas bukan versi comfort)

Kepada sesiapa di Lembah Kelang yang berminat sila hubungi Sdr. Qalif (012-2777629) SA ETCM Cawangan Taman Melati, untuk temu janji.



Untuk keterangan lanjut sila layari Grand Livina IMPUL atau layari laman web seperti zerotohundred.com dan paultan.org yang boleh memberi keterangan yang lebih terperinci.

01 Januari 2009

Selamat Tahun Baru 2009 (Happy New Year 2009)

Pada hari ini tahun 2008 telah melabuhkan tirainya dan disambung pula 2009. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 untuk rakan dan pengunjung yang sudi mampir (singgah di sini). Mungkin masih belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 kepada rakan dan pengunjung Muslim (pada 1 Muharam 1430 saya mengambil kesempatan bercuti ke Melaka). Dalam tempoh tidak sampai seminggu Takwim Kamariah bertambah bilangan tahun dan diikuti oleh Takwim Shamsiah pula memulakan pertukaran tahun.


Sepanjang tempoh tahun 2008 begitu mencabar dengan dugaan dan cabaran, tapi itu merupakan rencah kehidupan yang harus ditempuh oleh setiap insan. Walaupun ada yang manis, pahit dan cabaran getir yang hampir menjengkelkan untuk terus meniti arus kehidupan, namun hidup mesti diteruskan. Begitu banyak perkara yang berlaku pada 2008 dan hanya akan menjadi kenangan di dalam lipatan sejarah yang tidak tertulis di mana-mana secara terperinci, maka ianya akan disimpan di dalam lubuk hatiku.


Blog ini sudah lama tidak menambah catatan disebabkan saya agak sibuk dengan tugas harian (terlibat dalam pasukan penyediaan manuskrip bersih untuk buku The Audacity of Hope karangan Barack Obama), apabila sampai di rumah sahaja yang menjadi ingatan ialah untuk berehat sahaja. Kerana untuk mengemaskini blog akan dilakukan bermula pada 11.00 malam, waktu sebelumnya harus diberikan untuk melayani kerenah anak-anak. Mujurlah pada 25 Disember 2008, saya memasang Streamyx Combo RM60 untuk menambah kelajauan capaian kepada Internet yang selama ini menggunakan capaian “Dail-up” berkelajuan 28.8 Kbps.


Sehingga berjumpa lagi pada waktu yang lain sekiranya ada kelapangan.

Blog Widget by LinkWithin