26 November 2008

Usahawan Penternakan Cacing – Baja Vermikompos

Sebelum kita mengetahui tentang Baja Vermikompos, elok juga kita berkenalan dengan pengusahanya dan latar belakang beliau. Nama beliau ialah Encik Mohd. Husairi bin Abdul Rahman (seperti di dalam gambar sebelah). Beliau pernah berkhidmat di beberapa Bahagian dan Unit di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Bahagian Kewangan di Dawama Sdn. Bhd. Walaupun mengabdikan diri dalam dunia ‘makan gaji’ selama lebih 20 tahun di kedua-dua organisasi tersebut, itu bukanlah kepuasan baginya. Impiannya untuk menjadi usahawan tani telah lama terpendam selaras dengan seruan kerajaan yang mengkehendaki rakyatnya menjadikan “Pertanian Adalah Perniagaan”. Sebab itulah beliau melepaskan jawatan terakhir sebagai Pegawai Kewangan dan memilih bersara pilihan pada usia 40 tahun semata-mata merealisasikan minat beliau yang mendalam di dalam perniagaan dan keusahawanan. Kini beliau secara sepenuh masa mengusahakan pembuatan baja kompos (vermikompos) menerusi kaedah pencernaan cacing. Dengan tekad yang jitu beliau telah menubuhkan syarikat yang diberi nama FIRST AGROTECH, di alamat: lokasi

FIRST AGROTECH
No. 5, Jalan Cemperaisari 1D,
Bandar Sungai Buaya,
48010 Rawang,
Selangor Darul Ehsan.

H/P: 017-3196132
firstagrotech@yahoo.com

Sememangnya bidang perniagaan bukanlah asing bagi beliau, sejak kecil lagi beliau terdedah dalam bidang ini. Anak kepada seorang peniaga hasil pertanian seperti padi dan buah-buahan (mangga, cempedak, rambutan, nanas dan buah tempatan yang lain). Pengalaman yang diperoleh sebagai anak peniaga hasil pertanian dan juga pegawai di dalam urusan pentadbiran dan kewangan di sektor kerajaan dan swasta telah digabungkan dan diaplikasikan sepenuhnya dalam menguruskan perniagaannya.

Beliau memilih menceburi dalam bidang penghasilan baja menerusi kaedah pencernaan cacing kerana melihatkan potensinya yang besar bagi menggantikan baja kimia yang bakal dikurangkan penggunaannya menjelang tahun 2010.

Ditambah lagi dengan khasiat yang diperoleh daripada cacing iaitu berpotensi dalam penyuburan tanah, membaiki dan memelihara struktur tanah, pelupusan sampah organik, menjadi bahan buangan industri kepada baja organik, menjadi ramuan perubatan merawat penyakit seperti meredakan demam, tekanan darah tinggi, paru-paru serta menjadi bahan campuran dalam pembuatan kosmetik.

Selain itu, perniagaan ini membawa pulangan modal dalam tempoh yang singkat, mudah diternak dan risiko minimum, menghasilkan baja kompos (vermikompos) yang telah terbukti serta boleh mempelbagaikan produk akhiran yang berasaskan cacing seperti kosmetik, makanan tambahan dan kordial.

Sebagai usahawan sepenuh masa, beliau terlibat secara langsung di dalam urusan R&D dan proses penyediaan dari mula hinggalah ke pemasaran. Tugas-tugas tersebut ialah pembelian bahan organik dan jerami. Menyediakan campuran kedua-dua bahan tersebut sebelum memasukkan cacing untuk proses pencernaan. Membuat peti-peti kayu sebagai tempat proses pencernaan. Membiakkan cacing sehinggalah kepada peringkat pembungkusan dan pemasaran.

Beliau menggunakan teknologi pencernaan cacing daripada bahan organik asli najis lembu dan jerami menerusi proses vermikompos yang diakui sebagai medium yang terbaik bagi menghasilkan baja yang berkualiti.

Kebaikan dan kelebihan baja vermikompos:
  • Meningkatkan kelembapan dan memperbaiki pengudaraan serta pergerakan akar dalam tanah.
  • Mengurangkan permukaan tanah dari menjadi berkerak.
  • Penjimatan dari segi pengurangan penggunaan baja setelah musim ketiga apabila mutu tanah sudah dapat dipulihkan kerana vermikompos memulihkan tanah agar pokok dapat menyerap nutrien dengan lebih efisien.
  • Menambahkan bilangan organisma tanah yang berfaedah.
  • Meningkatkan daya ketahanan tanaman terhadap penyakit.
  • Tiada unsur bahan kimia.
Kini beliau tidak hanya menumpukan kepada pembuatan produk Baja Vermikompos sahaja. Melalui proses R&D yang telah dilakukan, satu produk baru iaitu “Booster” sebagai makanan tambahan untuk ternakan lintah telah diperkenalkan oleh First Agrotech. Ia telah terbukti boleh meningkatkan tumbesaran lintah sekali gus mencepatkan kadar tuaian haiwan tersebut.

Sebagai usahawan ternakan cacing yang menumpukan 100% dirinya dalam mengusahakan perniagaan ini, selok-belok kehidupan cacing, risiko, penjagaan dan cara penternakannya telah menjadi hanya di hujung jari bagi beliau. Justeru itu, bagi mereka yang ingin menceburi atau mendapatkan maklumat, bolehlah menghubungi beliau.

Beliau turut menjadi pakar runding kepada beberapa pengusaha ternakan cacing untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam menjayakan projek perniagaan mereka.

Di samping itu juga, beliau turut mengadakan Kursus Penternakan Cacing selama sehari dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang merangkumi teori dan praktikal di lokasi penternakan cacingnya dan dikenakan banyak sebanyak RM250.00. Bagi yang telah menghadiri kursus itu, masa untuk mendapatkan tunjuk ajar selepas kursus sehingga mahir dalam penternakan cacing ini tidak dihadkan dan diberi secara percuma. Ini kerana bagi beliau, ilmu tidak boleh kedekut, ia perlu dicurahkan kepada ramai orang kerana dari sinilah sektor penternakan cacing ini akan berkembang.

Kepada mereka yang ingin mula berjinak-jinak untuk menjadi pengusaha penterjenakan cacing, syarikat beliau juga ada menyediakan dan menjual kotak-kotak ternakan dengan harga terendah, alat penapisan baja dan makanan cacing yang telah diproses dengan harga berpatutan.

Akhir sekali nasihat beliau kepada para orang ramai yang belum mempunyai pekerjaan atau masih lagi menganggur, eloklah menceburi bidang ini dan janganlah memilih pekerjaan.



11 November 2008

Barack Obama – Sekalung Tahniah, Segunung Harapan

Ucapan di atas khususnya kepada tuan kerana telah memenangi pilihanraya presiden untuk negara Pakcik Sam ke-44. Tuan telah memecah monopoli di dalam arena politik untuk negara tersebut. Sekalung tahniah diucapkan kerana pilihanraya yang bersejarah dalam abad milinium dan segunung harapan dan terus menjadi harapan kepada negara kami yang sedang membangun agar ada perubahan yang positif dalam ekonomi yang melanda akhir-akhir ini. Seterusnya peranan negara Paman Sam sebagai polis dunia tidak lagi ada stigma atau konotasi yang jelek pada pandangan negara yang tertindas.

Seperti yang kita sedia maklum sebelum tuan ada beberapa orang yang berkulit sama dengan tuan sudah memecahkan monopoli untuk acara sukan seperti Tiger Woods yang berdarah (Amerika-Thailand) dalam arena Golf, manakala Sarena dan Venus Williams menjadi pemain ternama di arena Tenis, kini giliran tuan yang berdarah (Amerika-Kenya) memecahkan monopoli di dalam arena politik yang paling tinggi dan akan menduduki Rumah Putih.

Kalau pada tahun 1982 saya pernah diperkenalkan perkataan Kunta Kinte dari siri televisyen berjudul Roots yang diangkat daripada novel Roots karya Alex Haley. Sekarang masa telah menentukan segalanya dan perubahan ini bahawa tidak semestinya nasib manusia tidak akan berubah sekiranya kita berusaha untuk mengubahnya.

Saya rasa mungkin tuan memahami sedikit bahasa Melayu kerana tuan pernah dibesarkan di Nusantara iaitu di negara jiran tetangga saya yang juga merupakan leluhur keluarga saya.

Buku The Audacity of Hope karya tuan bakal ada di dalam versi bahasa Melayu yang saya cintai. Pada masa ini para karyawan di ITNM sedang berusaha membuat terjemahan (translation) untuk buku tersebut. Kalau boleh rasanya buku tersebut bakal dipasarkan sejurus tuan melakukan upacara angkat sumpah memegang jawatan sebagai Presiden Negara Paman Sam.

Paman = Pakcik.

05 November 2008

Majalah 3 – Datuk Lat – ITNM dan aku

Pada 31 Oktober 2008 saya ada menerima e-mel daripada Cik Shaharwati iaitu Setiausaha CEO ITNM, memberitahu siaran Majalah 3 akan bersiaran pada 1 November 2008 tentang Pelancaran buku Kampung Boy karya Datuk Lat di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt pada 16 Oktober 2008. Sedang asyik membaca berita gembira di surat khabar Sinar tentang penurunan harga petrol sebanyak 15 sen pada hari tersebut dan saya terus membuka halaman demi halaman sehingga saya berjumpa ruangan Bintang@Sinar halaman N27 bertajuk ‘The Kampung Boy’ di Majalah 3, sehingga saya teruja untuk membacanya. Pada halaman tersebut terpampang gambar Datuk Lat bersama dengan wartawan Irin Putri Azmi.

Saya memang menggemari rancangan Majalah 3 sejak dari dahulu lagi iaitu sejak Rosli Dahamin sebagai pengacaranya hinggalah sekarang. Seingat saya Datuk Lat pernah muncul di dalam rancangan Majalah 3 sebelum ini, dan mungkin siaran pada 1 November 2008 merupakan siaran yang kedua dan yang panjang siarannya. Pada siaran sebelum ini menceritakan tentang Datuk Lat meminati Bob Dylon dan Jimmy Hendrick dan zaman persekolahannya di Anderson. Sekolah Anderson boleh dikatakan agak terkenal kerana ramai wakil rakyat dari negeri Perak pernah mendapat pendidikan di sana, dan ada di antara mereka menjawat jawatan sebagai menteri.

Selain Kota Bharu ada di Kelantan, di negeri Perak ada juga tempat yang bernama Kota Baharu, iaitu tempat di mana kampung menjadi latar cerita Datuk Lat. Kepada mereka yang menaiki keretapi dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh sudah pasti akan berjumpa tempat ini.

Saya mengenali Datuk Lat melalui lukisannya yang tersiar setiap minggu di akhbar Berita Harian. Pada tahun 1978 sewaktu bersekolah di Tingkatan 1A2 di SMJK St. Anthony, Teluk Intan, (saya merupakan pelajar tahun yang kedua yang belajar dalam aliran bahasa Melayu) waktu itu kami berebut-rebut untuk mendapatkan giliran membaca buku kartun karya Lat ketika itu, dan pada waktu itu juga baru saya sedar tentang kewujudan buku seumpama itu. Pada ketika itu saya hanya meminjam sahaja kalau hendak membaca, kerana sebagai orang kampung masalah kewangan yang menjadi punca.

Apa yang menarik tentang karya Datuk Lat bagi saya ialah kehebatan Karikaturnya (Caricature) kerana kelibat karikatur tersebut kita dapat mengenal siapa orang yang dimaksudkannya tanpa memberi nama siapa orang yang dimaksudkan oleh lukisan tersebut. Selain daripada itu terselit nilai nostalgia bagi diri saya tentang perkataan Ais Kacang (sekarang dikenali sebagai ABC) dan Ais Kepal. (Teringat sewaktu zaman kanak-kanak iaitu meminum Ais Kacang di warung Pakcik Kadir berhampiran Masjid Jamek, Teluk Intan). Cerita menaiki sampan untuk mencari buah teratai pun termuat di dalam karya Datuk Lat dan gambaran yang sama seperti sewaktu zaman kanak-kanak saya ini hanya dapat saya ceritakan kepada anak saya dengan merujuk buku karya Datuk Lat. Cara persembahan karyanya meliputi kampung dan tidak ketinggalan penglibatan ketiga-tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu, Melayu, Cina dan India.

Setelah saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, saya ada membeli buku karya Datuk Lat yang berjudul Mat Som terbit pada 1989. Pada pendapat saya buku tersebut seperti biodata Datuk Lat sendiri. Karya buku tersebut juga telah diangkat menjadi skrip filem “Mat Som” pada tahun 1990. Perkara yang lucunya ialah apabila Imuda terpaksa kerintingkan rambutnya untuk memegang watak tersebut. Melalui filem Mat Som telah muncul seorang pelakon bernama Tiara Jacquelina (sekarang bergelar Datin, seronok melihat lakonan beliau sewaktu latihan Teater Raja Lawak di Sudut Penulis karya dan arahan Zakaria Ariffin). Sila klik Mat Som 1 dan Mat Som 2 untuk melihat cerita filem tersebut.

Pada pertengahan tahun 2007, Ketua saya Puan Siti Rafiah Sulaiman ada memberitahu saya tentang rancangan terjemahan dan penerbitan buku Kampung Boy ke bahasa Jerman. Beliau juga menambah bahawa buku tersebut akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt. Kini ternyata bahawa buku tersebut sudah dilancarkan. Tahniah khususnya kepada Jabatan Terjemahan dan Penerbitan dan warga ITNM amnya. Buku ini merupakan penerbitan pertama (terjemahan bahasa Inggeris ke Jerman). Saya banyak terlibat di dalam penyediaan teks sinopsis buku untuk diterbitkan sebagai katalog yang akan dibawa ke Frankfurt. ITNM memang sudah berkerjasama erat dengan pihak Geothe Institute di dalam menerbitkan buku terjemahan (Jerman ke bahasa Melayu), dan sudah menerbitkan dua buah buku iaitu Siddhartha dan Ingin Sebebas Burung.

Selepas menonton rancangan Majalah 3 pada 1 November 2008, anak sulung saya Muhammad Luqman Hakim sudah dapat mengenali stail bentuk lukisan Datuk Lat pada iklan walaupun tiada tulisan Lat pada iklan tersebut. Saya agak gembira kerana penghayatan dan pemerhatiannya terhadap rancangan tersebut telah membuka mindanya untuk mengenali identiti lukisan kartun Datuk Lat.

Melalui coretan ini saya mencadangkan agar pihak ITNM, Datuk Lat dapat bekerjasama dengan pihak Tourism Malaysia untuk membuat karya kartun berbentuk Malaysiana ke pelbagai bahasa utama dunia sebagai produk pelancongan. Dengan penerbitan tersebut, pemahaman orang luar terhadap Malaysia menjadi lebih jelas (seperti budaya, makanan, bangsa, tempat-tempat menarik dan lain-lain). Kerjasama ini berteraskan konsep menang–menang. Kerana pepatah ada mengatakan “Tak Kenal Maka Tak Cinta” dan “To Know Malaysia Is To Love Malaysia”.

Kepada mereka yang ingin melihat rancangan tersebut sila klik Majalah 3. Berita-berita yang berkaitan ITNM–Kampung Boy dan ITNM-Datuk Lat.

20 Oktober 2008

Sama Tapi Tidak Serupa I



Apa yang sama dan apa yang tidak serupa, dan apakah ianya suratan atau kebetulan? Semuanya ini berlaku apabila anda melihat gambar di atas. Jarak usia di antara kedua-dua model tersebut hampir lima tahun.

Apakah yang sama? Yang sama ialah dimiliki oleh orang yang sama, angka nombor pendaftaran yang sama, sejenis kenderaan, teknologi hasil sentuhan Jepun, dipasang di Malaysia, reka bentuk pintu belakang yang sama cirinya, dan kilang pemasangan terletak di Daerah Rawang.

Apakah yang tidak serupa? Model yang berlainan, syarikat pengeluar yang berlainan, warna yang seakan-akan tetapi tidak serupa, abjad pendaftaran yang hampir sama tetapi tidak serupa.

Alhamdulillah kedua-duanya wujud adalah rezeki anak-anak, ibu dan bapa hanya berusaha untuk mencari rezeki dan memohon keberkatan untuk sekeluarga terhadap rezeki yang dikuniakan oleh Allah S.W.T.

26 September 2008

Ingin Membeli Kereta Baru – Nissan Latio, Grand Livina dan Sylphy

Sebelum kita berkenalan dengan siapakah orangnya dan gambarnya tertera di dalam ruangan ini. Apabila kita merujuk kepada tajuk di atas, maka beliaulah yang patut anda rujuk.

Kalau sebelum ini kita hanya mengetahui tentang kenderaan model Nissan Sunny 130Y, Sentra, Cefiro, Vanette, X-Trail, Sarena sahaja. Tetapi pada penghujung tahun 2007 hingga kini telah muncul model-model baru daripada Nissan untuk menjadi model pilihan bagi rakyat Malaysia.

Bagi ketiga-tiga model seperti Latio, Grand Livina dan Sylphy pada masa ini kedudukan jualan yang paling tinggi ialah Grand Livina kerana menampilkan ciri-ciri Sedan dan MPV sekaligus. Oleh kerana rakyat Malaysia dewasa ini begitu menggemari kenderaan MPV sebagai kereta pilihan yang boleh memuatkan 7 penumpang. Model tersebut juga menggunakan teknologi enjin terkini (CVTC) dan begitu menjimatkan minyak.

Grand Livina dan Sylphy telah memenangi anugerah daripada “The Asian Auto-VCA Auto Industry Awards 2008”. Grand Livina memenangi “Best Value For Money MPV” dan Sylphy memenangi “Best Handling Family Sedan”. Maka sudah tentu anda tidak ragu-ragu tentang kehebatan ciri-ciri yang ditampilkan oleh kedua-dua model ini.

Ketiga-tiga model tersebut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan kepada penumpang iaitu Bag Udara untuk penumpang di hadapan (SRS Airbag), Sistem Brek (ABS, EBD & BA).

Sekiranya anda berminat saya mengesyorkan anda untuk menghubungi Sales Advisor Encik Qalif, 012-2777629 dari Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. di alamat 33 Jalan Melati Utama 4, Melati Utama, Setapak 53100 Kuala Lumpur. Kedai tersebut teletak berhampiran MRR2 (Leha Kelfood dan Sate Haji Samuri).

Encik Qalif merupakan orang yang paling banyak membantu saya untuk proses memiliki Grand Livina. Beliau juga berpengalaman luas di dalam bidang penjualan kereta dan proses-proses berkaitan pinjaman dengan institusi kewangan dan juga pinjaman kerajaan. Sekiranya anda ingin bertanya tentang ciri-ciri teknikal untuk model-model berkenaan, penjelasan beliau begitu jelas. Atau lawati ke Nissan Malaysia dan Mylivina Group.

23 September 2008

Q-dees Annual Concert 2008 (Konsert Tahunan Q-dees 2008)

Pelajar Tadika Q-dees dari Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh terlibat dengan konsert tersebut yang diadakan pada hari Sabtu, 30 Ogos 2008, bertempat di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula jam 6.00 petang hingga 10.00 malam.

Selain dari Tadika Q-dees dari Bukit Rahman Putra, konsert pada malam tersebut disertai juga oleh beberapa buah Tadika Q-dees yang lain dari Puchong Utama, Shah Alam dan Rawang, masing-masing menghantar empat kumpulan setiap tadika. Program yang diadakan pada setiap tahun ini merupakan salah satu kokurikulum muridnya. Pada hari Khamis, 14 Ogos 2008 yang lalu satu raptai diadakan di Dewan Sivik, MBPJ, untuk memberikan gambaran tentang konsert yang bakal diadakan supaya murid yang terlibat mengetahui tentang tatacara semasa konsert yang sebenar nanti.

Pada malam tersebut diselang-selikan dengan majlis “Graduation” pelajar berumur enam tahun untuk setiap tadika. Konsert tersebut diadakan bertepatan dengan malam ambang kemerdekaan, maka finale majlis tersebut turut menjemput semua para hadirin untuk bersama menyanyikan lagu Negaraku dan Tanggal 31 selain lagu rasmi Q-dees dan Fliptec @ Q.

Oleh kerana murid yang terlibat dalam menjayakan konsert tersebut ialah anak saya, yang mewakili Kelas En-Baird dari Tadika Q-dees Bukit Rahman Putra. Sudah tentu amat gembira dengan kebolehan yang ditunjukkannya. Sebagai ayah yang menyokong program sebegini sudah tentu berbangga dengan penglibatan Muhammad Afiq Hilmi, kerana bukan mudah untuk seseorang itu mendapat peluang membuat pertunjukan pada usia yang muda, dapat menimba pengalaman yang amat berharga. Kerana pengalaman yang amat berharga ini melatih dan mendidik kita supaya berani naik ke pentas dan berhadapan dengan penonton dan pengalaman ini merupakan sekali dalam seumur hidup.

Seterusnya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Principal Q-dees Bukit Rahman Putra iaitu Ms. Rose Nizeana dan Teacher Suria yang banyak membimbing di dalam menjayakan konsert tersebut, dan tidak dilupakan juga kepada tenaga pengajar yang lain.

Kejayaan konsert ini diraikan pada malam tersebut oleh keluarga dengan jamuan di A&W Petaling Jaya (berhampiran padang Jalan Timur) yang menjadi tempat kegemaran keluarga kami.



13 Ogos 2008

Petikan Ulasan Tentang Buku Siddharta

Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM) dengan kerjasama pihak Geothe Institute telah berjaya menerbitkan buku Siddhartha karya Hermann Hesse penulis berbangsa Jerman yang memenangi Hadiah Nobel Sastera. Buku ini diterjemah ke bahasa Melayu oleh Puan Hedy Holzwarth berdasarkan teks bahasa Jerman. Buku ini dilancarkan pada 3 Mei 2007 semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007.

Sila klik pada pautan di bawah untuk mengetahui petikan ulasan tersebut:

http://wwwenche.blogspot.com/2008/06/jom-baca-buku.html

http://jiwarasa.blogspot.com/2007/06/siddhartha.html

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16345&ltemid=1

12 Ogos 2008

Permainya Malaysiaku – Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang Ke-51


Bersempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang Ke-51, pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra (SKBRP) telah membuat banner dengan menggunakan logo tapak tangan sebagai corak. Setiap logo tangan yang disesuaikan mengikut warna juga diletakkan tanda tangan murid-murid yang terlibat. Program ini amat baik sebagai memupuk semangat cintakan negara yang disemai sejak di bangku sekolah rendah lagi. Oleh kerana sekolah ini adalah tempat di mana anakku belajar, saya mengucapkan sekalung tahniah di atas program tersebut kepada SKBRP dan kepada semua yang terlibat. Selamat Maju Jaya dan teruskan usaha.

08 Ogos 2008

Impianku Membina Blog Akhirnya Tercapai

Aku selama ini berangan-angan agar aku dapat membina blog macam orang lain juga. Selama ini asyik membaca blog rakanku Enche dan katanya sebelum mencuba belum tahu tapi dah cuba ketagih lak. Inilah saja catatan ringkas di dalam proses pertamaku. Walaupun aku tidak sekreatif mana tetapi melalui ruangan ini dapat aku meluahkan, berkongsi pengalaman selagi hayat dikandung badan. Sekian.
Blog Widget by LinkWithin