24 Januari 2009

Bil Indah Water Dibayar – Kemudahannya Tidak Dimanfaatkan

Apabila membaca tajuk di atas mungkin pelik bunyinya, tetapi itulah hakikat yang saya perhatikan di persekitaran tempat tinggal saya. Setiap enam bulan khidmat yang diberikan oleh IWK (Indah Water Konsortium), pelanggan domestik akan dihantar “Bil Perkhidmatan Pembetungan” dan ini bermakna pelanggan tersebut dikenakan bayaran di atas khidmat yang telah diberikan. (Menurut Kamus Dewan “pembetungan” bererti 1. kerja-kerja membetung; 2. sistem penyaliran najis, air kumbahan dsb ke loji pemprosesannya melalui rangkaian saluran bawah tanah. “kumbahan” bererti air yang telah digunakan utk membasuh). Sekiranya bil tersebut dibayar tetapi khidmat yang diberikan IWK tidak dimanfaatkan, apalah gunanya.

Apakah yang saya maksudkan “tidak dimanfaatkan”? Maksud saya ialah ada segelintir penduduk domestik (yang kurang kesedaran sivik dan masih berfikiran seperti penduduk kelas 3) masih lagi masih mengalirkan air sisa kumbahan seperti air daripada mesin basuh dan air dari singki di dapur (sisa kumbahan) ke longkang di belakang rumah. Mereka harus sedar bahawa air tersebut perlu dialirkan ke saluran pembetungan yang disediakan oleh pemaju perumahan. Apabila air sisa kumbahan dialirkan ke pembetungan ia akan disalurkan terus ke loji pengolahan sisa kumbahan. Tetapi jika air sisa kumbahan dialirkan ke longkang di belakang rumah ia akan mewujudkan pelbagai masalah seperti bau busuk yang meloyakan, berlumut, kelodak sisa yang mendap akan menyebabkan pengaliran air tersekat ini juga akan menyebabkan air bertakung di mana secara tidak langsung mewujudkan habitat nyamuk.

Kenapa mereka berbuat demikian? Apabila mereka mengubah suai rumah di bahagian dapur dan bilik air, langkah yang mudah dan mengurangkan kos pembinaan maka air sisa kumbahan terus dialirkan ke longkang. Apakah mereka tidak sedar implikasinya akibat sikap tidak sensitif mereka itu kepada persekitaran.

Pada masa ini penyakit seperti Denggi dan Chikungunya semakin meningkat di Selangor, apakah anda ingin menjadi penyebab penyakit tersebut kerana kealpaan dan bersikap mementingkan diri sendiri. Akhir kata lu pikirlah sendiri?

10 Januari 2009

Grand Livina IMPUL (Edisi Terhad) – Kini Muncul

Pada 5 Januari 2009 yang lalu, saya dikejutkan dengan penerimaan SMS daripada Sdr. Qalif (SA) ETCM Cawangan Taman Melati. Di dalam pesanan ringkas tersebut menyatakan GRAND LIVINA VERSI IMPUL akan muncul dan pelancarannya akan diadakan pada hari tersebut.

Kalau sebelum ini versi IMPUL telah muncul untuk model LATIO maka kini tiba pula giliran Grand Livina menerima sentuhan IMPUL. Ciri-ciri yang ditampilkan oleh IMPUL seperti biasanya ialah Gril Depan, Aerokit, Sistem Ekzos (Muffler), Rim (17”) dan Tayar (Dunlop Formula D 01 205/45 R17), Sistem Penyerap Hentakan dan Spring (Sport). Manakala warna untuk versi IMPUL ialah Tungsten Silver, Sapphire Black, Brilliant White dan Twillight Grey.

Harga yang ditawarkan untuk model-model seperti di bawah:

  • Grand Livina IMPUL 1.6 (Manual) RM94,896.30 (OTR)
  • Grand Livina IMPUL 1.6 (Automatik) RM95,586.00 (OTR)
  • Grand Livina IMPUL 1.8 (Automatik) RM107,396.30 (OTR)

OTR = Harga di atas jalan (Harga di atas bukan versi comfort)

Kepada sesiapa di Lembah Kelang yang berminat sila hubungi Sdr. Qalif (012-2777629) SA ETCM Cawangan Taman Melati, untuk temu janji.



Untuk keterangan lanjut sila layari Grand Livina IMPUL atau layari laman web seperti zerotohundred.com dan paultan.org yang boleh memberi keterangan yang lebih terperinci.

01 Januari 2009

Selamat Tahun Baru 2009 (Happy New Year 2009)

Pada hari ini tahun 2008 telah melabuhkan tirainya dan disambung pula 2009. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 untuk rakan dan pengunjung yang sudi mampir (singgah di sini). Mungkin masih belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 kepada rakan dan pengunjung Muslim (pada 1 Muharam 1430 saya mengambil kesempatan bercuti ke Melaka). Dalam tempoh tidak sampai seminggu Takwim Kamariah bertambah bilangan tahun dan diikuti oleh Takwim Shamsiah pula memulakan pertukaran tahun.


Sepanjang tempoh tahun 2008 begitu mencabar dengan dugaan dan cabaran, tapi itu merupakan rencah kehidupan yang harus ditempuh oleh setiap insan. Walaupun ada yang manis, pahit dan cabaran getir yang hampir menjengkelkan untuk terus meniti arus kehidupan, namun hidup mesti diteruskan. Begitu banyak perkara yang berlaku pada 2008 dan hanya akan menjadi kenangan di dalam lipatan sejarah yang tidak tertulis di mana-mana secara terperinci, maka ianya akan disimpan di dalam lubuk hatiku.


Blog ini sudah lama tidak menambah catatan disebabkan saya agak sibuk dengan tugas harian (terlibat dalam pasukan penyediaan manuskrip bersih untuk buku The Audacity of Hope karangan Barack Obama), apabila sampai di rumah sahaja yang menjadi ingatan ialah untuk berehat sahaja. Kerana untuk mengemaskini blog akan dilakukan bermula pada 11.00 malam, waktu sebelumnya harus diberikan untuk melayani kerenah anak-anak. Mujurlah pada 25 Disember 2008, saya memasang Streamyx Combo RM60 untuk menambah kelajauan capaian kepada Internet yang selama ini menggunakan capaian “Dail-up” berkelajuan 28.8 Kbps.


Sehingga berjumpa lagi pada waktu yang lain sekiranya ada kelapangan.

Blog Widget by LinkWithin