Kita sering berjumpa dengan manusia dari pelbagai keturunan. Pertama kita melihat melalui paras rupa mereka, tetapi kita tidak tahu bangsa mereka. Sebagai contoh orang Jepun dengan Korea, apabila mereka berbual (berbahasa) baru kita dapat mengenal pasti keturunan mereka. Maka dengan bahasa baru kita dapat mengenal bangsa mereka.
Sebagai contoh lain pula, seorang yang bernama Suhaimi bin Sudarji bin Marto Pawiro. Melalui nasab nama tersebut beliau merupakan keturunan Jawa. Kerana nama juga melambangkan keturunan seseorang. Tetapi sekiranya beliau tidak boleh berbahasa Jawa (orak iso ngomong Jowo atau enggak bisa ngomong Jowo), apakah beliau boleh dikatakan berbangsa Jawa atau bolehkah beliau mengaku bahawa dia berbangsa Jawa. Pendapat saya malu rasanya untuk mengaku sebagai berbangsa Jawa kerana tidak dapat dibukti melalui penguasaan bahasa bangsa tersebut, maka Bahasa Jiwa Bangsa amat sinonim dengan cerita ini. Saya sering melayari blog en_me untuk mengembalikan nostalgia bahasa Jawa.
Begitu juga nasib orang Melayu sekiranya bahasanya tidak digunakan? Apakah ada keturunan Melayu lagi? Mungkin keturunannya ada tetapi sudah hilang jati diri. Atau seperti apa yang dikatakan oleh Hang Tuah “takkan Melayu hilang di dunia” tetapi bagi saya Melayu akan hilang di dunia sekiranya bahasanya tidak digunakan lagi, dan bahasa merupakan ketamadunan sesuatu bangsa. Bahasa yang bertamadun apabila ianya digunakan untuk mengungkapkan sesuatu ilmu itu melalui bahasa tersebut. Wahai orang Melayu berusahalah untuk memartabatkan bahasa Melayu untuk diletakkan pada tahap yang tinggi supaya menjadi bahasa ilmu.


















